Bagaimanapun seorang anak memikirkan cara untuk menghargai ibu, ada penyataan yang paling utama buat seorang ibu ialah doa anaknya.

Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu diingini. Doa juga permohonan kepada Allah supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bala bencana. Lazimnya manusia berdoa apabila sudah berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa.

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu dari-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman bermaksud:

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu." (Surah Al-Mu'min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu menghadapnya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik dari Allah supaya ibu sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama orang solehah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak.Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya."
(Hadis Riwayat Muslim)


Banyak peristiwa malang berlaku hari ini kepada anak dilahirkan tanpa disengaja. Mereka akhirnya dibuang merata, tiada kasih dan simpati tertumpah. Apapun yang berlaku dan bagaimana latar belakang kisahnya, setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah dosa mereka diampunkan.

"Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin
pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)."
(Surah Ibrahim, ayat 4)

"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya,
sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil."
(Surah al-Israa, ayat 24)


Sesungguhnya doa membuktikan bahawa kita makhluk yang hina dan lemah serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Walaupun di dunia ini kita memiliki ibu yang penyayang, mereka akan pergi juga apabila sampai waktunya. Sebaik-baik doa untuk ibu adalah ditadahkan oleh anak dicintai Allah, memelihara makan minum dan pakainya, tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf dan nahi mungkar sesama manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh.

Berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia yang masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya.

copypaste :

iluvislam