Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusia pun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Semua ini datang dari perasaan dan fikiran kita, oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaganya dengan sentias...a melakukan kebaikan. Satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Jadi, binalah hubungan berkali-kali tanpa putus asa. Berilah dan teruslah memberi dan sentiasa didik perasaan kita kerana perasaan adalah bayangan fikiran. Jika fikiran kita positif, perasaan kita akan gembira. Sebaliknya, apabila perasaan kita sedih, marah atau kecewa, fikiran kita juga negatif. Justeru, dengan menjaga perasaan, bererti kita juga menjaga fikiran kita. Perasaan dan fikiran itu saling berkaitan. Perasaan itu umpama nyala api manakala fikiran itu adalah unggunnya.

Kaedah pertama untuk menjaga perasaan ialah dengan memberi senyuman. Berilah senyuman kepada semua. Senyuman itu ada dua jenis. Pertama, kerana gembira. Kedua, kerana ingin menggembirakan. Senyum kerana gembira menggambarkan perasaan kita pada masa itu, akan tetapi senyuman yang luar biasa dan mahal harganya ialah senyuman untuk menggembirakan orang lain. Sungguh pun ada kalanya dalam hati sendiri bergelojak dengan masalah, badan sendiri sedang sakit, diri sedang letih, tetapi demi sahabat di depan mata, kita senyumlah jua. Bukan kerana gembira tetapi kerana ingin menggembirakan.

Inilah senyuman yang dikaitkan dengan iman, yang disamakan dengan satu sedekah. Semata-mata kerana Allah SWT, dan kasih sayang kita terhadap rakan dan orang-orang di sekeliling kita. Rugikah kita dengan senyuman itu? Tidak. Insya-Allah, niat kita untuk menggembirakan orang lain akan dibalas oleh Allah dengan kegembiraan yang setara atau yang lebih lagi.



olive~luvuforever.
Posted by SEED of ISLAM
http://seedofislam.blogspot.com