Kalimah cinta sering diucapkan, namun keseringan kita
menyebu cinta belum bermakna kita sudah mempunyai pengertian yang
tepat mengenainya. Akibatnya, cinta sering disalahtafsirkan.
Salah tafsiran mendorong kepada salah tindakan. Daripada sesuatu yang mahal
dan murni sifatnya, cinta bertukar menjadi salah satu yang
termurah dan tercemar.

Kerap kali, cinta menjadi sesuatu yang pedih, jijik dan
mengecewakan. Kecewa bercinta, 'cinta monyet' dan sebagainya sudah
tidak asing lagi dikalangan remaja. Ramai yang telah menderita kerana
cinta. Lalu berderetanlah korban cinta sepanjang zaman seperti Romeo
dan Juliet, Uda dan Dara dan Anthony dan Cleopatra.

Sebelum mengaitkan cinta dan perkahwinan, adalah lebih baik
jika diperjelaskan falsafah cinta itu terlebih dahulu. Ini bukanlah
persoalan ilmiah yang menurut perahan akal tahap sarjana, tetapi
perbahasan mudah yang melibatkan fitrah dan rasa. Justeru cinta adalah
fitrah yang dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia.

Ingin menyintai dan dicintai adalah keperluan semulajadi yang
perlu diisi. Hati memerlukan cinta, sama seperti jasad memerlukan
makanan. Anehnya,apa yang kita rasai tidak semestinya kita fahami.
Lalu apakah sebenarnya cinta itu?

Cinta dan Penciptanya

Untuk mengetahui segala-galanya tentang cinta, manusia perlu
merujuk kepada pencipta cinta itu sendiri yakni Allah SWT. Tuhan
menciptakan cinta, maka Dialah yang Maha Mengetahui sifat dan
rahsianya. Cinta itu indah kerana diciptakan oleh Allah Yang Maha
Indah. Sabda Rasulullah SAW," Allah itu indah dan cintakan keindahan"
Bukan saja indah, cinta yang diciptakan Allah itu bertujuan untuk
menyelamatkan, mententeramkan dan membahagiakan manusia. Tidak kira
sama ada dalam komunikasi antara manusia dengan Tuhan.

Allah SWT tidak mengurniakan rasa cinta semata-mata, tetapi
Allah juga mengurniakan 'hukum' cinta yang mesti dipatuhi demi
mencapai maksud penciptaannya. Dengan 'hukum' itu, Allah mengatur agar cinta
sentiasa selamat dan menyelamatkan. Begitulah cinta dalam Islam, ia
mempunyai kaedah dan peraturan demi menjaga kemurnian dan kesuciannya.
Selagi manusia berpegang kepada peraturan ini, selagi itulah cinta
terpelihara dalam sifat fitrahnya yang asal, yakni murni, indah dan
mententeramkan.

Tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun, selagi
cinta mematuhi hukum Allah, selagi itulah ia indah. Inilah faktor
penentu keindahan cinta sama ada sebelum atau selepas perkahwinan.
Dalam dua keadaan, yang mana satu lebih memudahkan hukum cinta itu
dipatuhi? Sebelum atau selepas perkahwinan?

Untuk menjawabnya, kita terpaksa merujuk kepada kenyataan
awal semula, yakni cinta adalah fitrah dari Allah yang ada peraturannya.
Untuk mendapat cinta yang sejati dan berkekalan, peraturan ini mesti
dipatuhi.

Peraturan pertama yang perlu dipatuhi ialah cinta itu mesti
dibina atas dasar cinta Allah. Cintalah sesiapa pun tetapi mestilah
kerana Allah. Namun meletakkan cinta hanya untuk dan kerana Allah
tidaklah menghalang meletakkan cinta kepada yang lain. Islam
membenarkan seorang ibu mencintai anaknya, seorang rakyat menyintai
pemimpinnya, seorang isteri menyintai suaminya, malah seorang wanita
terhadap lelaki dan sebaliknya... tetapi dengan syarat cinta itu
mestilah diletakkan atas dasar cinta Allah.

Apa tandanya kita menyintai seseorang atas dasar cintakan Allah?

Pertama, mestilah dipastikan kecintaan itu tidak melebihi
cinta kepada Allah. Kita akan sentiasa mendahulukan kehendak kecintaan utama
kita (Allah) daripada kehendak kecintaan-kecintaan kita yang lain.
Pertemuan antara cinta Allah dan kecintaan kepada yang lain tidak
seharusnya berlaku sekiranya cinta Allah mendapat keutamaan tertinggi
dan cinta-cinta lain diatur serta dirujukkan kepada Allah.

Kedua, cinta itu mestilah tidak melanggar batas-batas
syariat.Jangan cinta menyebabkan kita berdosa kerana tidak melaksanakan apa
yang diperintahkanNya dan melanggar apa yang dilarangNya. Apabila dua
syarat ini dilanggar, maka cinta tidak akan murni dan berkekalan lagi.
Inilah punca patahnya cinta selepas perkahwinan. Tetapi, sekiranya dua
hukum cinta dipatuhi, maka disinilah pula letaknya keindahan cinta
selepas perkahwinan.

Sekian.........
wassalamm